Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pemimpin Sekolah 2017


 
SMKBS, 27 Feb. (Isnin) - Majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah telah diadakan pada hari ini dan disempurnarasmikan oleh YDH DSP Mohd Suhaimi bin Hj. Ali, Ketua Polis Daerah Marang disaksikan oleh Tuan Pengetua, Encik Abu Hasmadi bin A. Bakar, barisan Pengurusan Sekolah, guru-guru dan murid-murid terpilih.

          Menyedari bahawa pemimpin sekolah merupakan tunjang utama pada keutuhan disiplin sesebuah sekolah proses pembentukan daya dan gaya kepimpinan dan penampilan sebagai pemimpin merupakan aset masa depan negara yang perlu dibimbing dengan sewajarnya bagi memperkembangkan potensi diri mereka sama ada dari aspek kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum. Majlis ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha-usaha pendisiplinan yang memerlukan perancangan dan kesungguhan kerjasama semua pihak.

          Sekolah adalah medan kedua yang sangat penting untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru-guru pula menjadi tunggak kejayaan misi dan visi sekolah. Sesebuah sekolah tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna jika tidak mendapat kerjasama yang padu dan sokongan yang baik daripada pemimpin sekolah. Oleh itu, pengiktirafan yang sewajarnya harus diberikan kepada ahli tersebut sesuai dengan peranan mereka bagi menjana kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Objektif program ini adalah bagi:

(1)  Meningkatkan daya kepimpinan dan kreativiti pelajar, 
(2)  Meningkatkan kecekapan dan kepetahan berucap di khalayak ramai,
(3)  Memperkembangkan potensi diri pelajar,
(4)  Memantapkan sahsiah pelajar,
(5)  Memantapkan daya ketahanan pelajar,
(6)  Meningkatkan imej pemimpin sekolah dengan mendapat pengiktirafan daripada pihak sekolah untuk membantu guru dan pelajar-pelajar lain dalam sama-sama menangani masalah salah laku di sekolah.

          Program ini disasarkan kepada 102 orang pengawas, 25 orang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), 71 orang Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), 20 orang Biro Asrama, 25 orang AJK SPBT, dan 76 orang Ketua dan Penolong Kelas.