Hari Pertama Persekolahan 2017

1 JANUARI 2017 - Sesi persekolahan bermula seawal 7.20 pagi di dewan sekolah. Murid-murid disambut mesra oleh semua guru di pintu masuk sekolah dan sepanjang laluan ke lokasi perhimpunan pada hari ini. Perhimpunan dihadiri oleh Tuan Pengetua, Encik Abu Hasmadi bin A. Bakar, barisan pengurusan dan semua guru disaksikan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PPD Marang, Encik Abdul Rahim bin Mat Zain yang hadir seawal 7.20 pagi.

Dalam ucapan ulung, Tuan Pengetua mengalu-alukan kehadiran semua pelajar dan merakamkan ucapan terima kasih atas kunjungan PPS bagi menyaksikan perjalanan urusan persekolahan pada hari pertama ini. Beliau turut berharap dan mengingatkan kepada semua pelajar supaya beriltizam untuk belajar bersungguh-sungguh dengan semangat yang jitu.

Dalam ucapan peringatan pada kunjungan ke sekolah ini, Encik Abdul Rahim selaku PPS mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid, guru-guru dan kepimpinan sekolah kerana dapat mengendalikan urusan persekolahan pada hari pertama ini dengan lancar dan jayanya.