SUNTIKAN SEMANGAT PPD MARANG - CALON PT3

SMK BUKIT SAWA, 3 Okt. - Hari ini merupakan hari yang sangat bertuah kepada calon-calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sekolah ini kerana menerima kunjungan yang sangat bermakna oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Marang, Encik Mohd Adnan bin Salleh sebelum menduduki peperiksaan pada 10 Oktober 2016.
          Seramai 255 calon (120L+135P) yang bakal menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini diberikan suntikan motivasi dengan ungkapan-ungkapan yang membangkitkan semangat untuk mengatur strategi dan melakukan tindakan terakhir. Mereka diberikan tip-tip yang sangat berguna di samping cerita-cerita menarik tentang murid-murid sekolah di salah sebuah pulau pelancongan yang mendapat pencapaian terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris hasil usaha guru-guru dan pendedahan kepada pelancong yang berkunjung ke perkampungan mereka. Beliau juga menetapkan sasaran khusus kepada calon-calon PT3 agar mendapat pencapaian terbaik dalam peperiksaan sekurang-kurangnya berada dalam lingkungan tiga terbaik peringkat daerah Marang.
          Dalam majlis tersebut Tuan Pengetua, Encik Abu Hasmadi bin A. Bakar turut mengalu-alukan kehadiran Tuan PPD yang sudi datang memberikan suntikan semangat kepada anak-anak di sekolah ini. Beliau memperkenalkan calon-calon yang berada dalam takungan terbaik termasuk seorang calon yang berjaya membuat lonjakan berganda sehingga berada dalam takungan tersebut. Akhir sekali calon-calon dibakar dengan laungan tag-line Score 'A' Win All yang menjadi pemangkin kepada seluruh pelajar di sekolah ini dengan begitu kuat dan bersemangat.