Program Temu Murni Calon SPM 2016

SMKBS, 5 Okt. 2016 - Pertemuan guru-guru dengan ibu bapa atau penjaga bersama anak masing-masing merupakan satu peluang keemasan untuk saling berkongsi aspirasi setiap kita ke atas modal insan di sekolah ini. Semua pihak perlu saling bermuhasabah ke atas pencapaian semasa yang diperolehi oleh anak-anak. Seterusnya maklumat yang diperolehi daripada analisis pencapaian dalam beberapa siri penilaian menjadi panduan untuk memperkemaskan usaha bagi mencapai target dan sasaran yang ditetapkan.

           Program pertemuan ini bermula pukul 10.00 pagi hingga tamat segala urusan mengenal pasti tahap pencapaian anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada 7 November 2016. Antara matlamat diadakan program ini ialah untuk mendedahkan kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan pencapaian anak-anak jagaan mereka dalam Peperiksaan Percuban SPM dan potensi yang boleh dicapai serta kelemahan yang perlu diperbaiki agar prestasi akademik mereka lebih cemerlang.

          Objektif utama diadakan program ini ialah untuk merealisasikan akses kepada pendidikan dengan melibatkan ibu bapa / penjaga dan komuniti secara total, mempertingkatkan kesedaran dan kepentingan pendidikan kepada ibu bapa / penjaga dan komuniti, membantu membangunkan modal insan agar selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan iaitu menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia dan seterusnya untuk memupuk perpaduan dan kerjasama yang erat dalam kalangan ibu bapa / penjaga dengan warga pendidik.

          Antara kandungan ucapan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Encik Rosdi bin Abdullah ialah beliau mahu kalangan ibu bapa dapat bersama-sama warga pendidik di sekolah ini membentuk dan mencorak masa hadapan anak-anak. Beliau menaruh sepenuh kepercayaan ke atas segala usaha luar biasa yang dilakukan oleh guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah ini melaksanakan mandat yang diserahkan oleh ibu bapa dan sekalian penjaga. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku dan tahu tentang segala program yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah termasuk beberapa siri memperkasakan tahap pembelajaran anak-anak yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. 

          Maklumat dan analisis yang dibentangkan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Yusof bin Ismail memberikan kecelikan yang amat bermakna kepada ibu bapa dan penjaga. Kupasan yang dibuat berdasarkan kepada angka-angka yang menerangkan tentang pencapaian ditambah lagi oleh penerangan oleh guru kelas dan guru-guru mata pelajaran memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama memberikan galakan kepada anak-anak. Pusat pengajian dan kemahiran tersedia sebagai alternatif kepada pelbagai laras kebolehan individu. Murid-murid boleh tentukan bidang-bidang yang layak dan diminati sebagai pilihan mengikut kecenderungan masing-masing.

 Temu Murni SPM 2016