Majlis Restu Ilmu Calon PT3/2016

SMKBS, 6 Okt. 2016 - Penutup kepada semua program kebitaraan PT3 pada tahun ini disudahi dengan Majlis Restu Ilmu yang berlangsung di Surau al-Taqwa pada pagi ini. Majlis yang dipengerusikan oleh kaunselor, Puan Rosni binti Othman turut dihadiri oleh Tuan Pengetua, Encik Abu Hasmadi bin A. Bakar; PK Pentadbiran, Encik Yusof bin Ismail; Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan, Puan Hajah Nozna binti Awang selaku Pengurus Projek PT3; Guru Kanan Mata Pelajaran Votek, Encik Johari bin Seman; Guru Kanan Mata Pelajaran Sains, Puan Rohana binti Ab. Rahman; Penyelaras Projek, Ustazah Sabariah binti Mutalib; Setiausaha Projek, Puan Faizah binti Osman; dan semua guru yang mengajar mata pelajaran tingkatan tiga.

          Seawal 11.00 pagi semua murid Tingkatan Tiga berkumpul di surau. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis diikuti Taklimat Peperiksaan PT3 yang disampaikan oleh Setiausaha Peperiksaan, Puan Nurhayati binti Abdul Jalil. Beliau menerangkan tentang persediaan bahan keperluan dan peraturan peperiksaan yang mesti dipatuhi oleh semua calon. Dimaklumkan juga tentang kesediaan guru bertugas yang boleh dirujuk oleh mana-mana calon untuk memenuhi segala keperluan calon mengalami masalah atau memerlukan penerangan tertentu.

          Pelajar juga disuntik dengan semangat motivasi diri pada saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan bertulis PT3 oleh Yang Mulia Ustaz Syed Ali Hasani bin Syed Yasin. Beliau mengingatkan supaya semua kalangan kita berserah dan bertawakkal kepada Allah setelah kita melakukan banyak usaha luar biasa sebagai persediaan menduduki peperiksaan itu nanti.

         Seterusnya Puan Hajah Nozna binti Awang selaku Pengurus Projek PT3 merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Tuan Pengetua dan semua pihak yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak mengenal penat dan lelah dalam menjayakan apa juga program yang dianjurkan. Beliau juga sangat menghargai dan berasa kagum dengan sambutan yang ditunjukkan oleh anak-anak pelajar yang sama-sama berusaha untuk memenuhi aspirasi sekolah dan cita-cita peribadi iaitu mencipta sebuah kejayaan.

          Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Yusof bin Ismail pula mengingatkan calon supaya meneruskan momentum semangat yang telah diterapkan ke dalam jiwa mereka oleh guru-guru sehingga berjaya dalam peperiksaan PT3 nanti. Jaga keselamatan dan kesihatan diri terutamanya pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Jangan tidur lewat malam pada malam-malam peperiksaan.

          Akhir sekali, saat yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar ialah mendengar pesanan dan amanat daripada Tuan Pengetua. Mereka diingatkan supaya jangan berlagak sombong dan berdendam dengan mana-mana guru agar mendapat berkat dunia dan akhirat. Restu ibu bapa dan penjaga serta guru-guru sangat mustahak pada saat-saat kita berhadapan dengan sesuatu yang penting dalam hidup. Jangan lupa maafkan semua orang supaya perjalanan kita sentiasa lancar tanpa sebarang gangguan. Beliau turut berkongsi pengalaman beliau bersama pelajar yang tidak berlaku jujur dengan guru sehingga bapa pelajar berkenaan datang bertelagah dengan guru yang akhir pelajar berkenaan ditimpa musibah. Lain pula halnya dengan pengalaman beliau bersama seorang murid yang menjadikan berbakti kepada ibu sebagai rutin setiap pagi sebelum ke sekolah walaupun didenda oleh guru kerana lewat sedangkan guru tersebut tidak mengetahui kesulitan murid berkenaan; masalah terungkai apabila guru-guru pergi berziarah setelah ibunya meninggal. Akhirnya murid ini dipermudahkan hidupnya selepas tamat peperiksaan SPM. Seterusnya beliau berharap anak-anak berikan sepenuh tumpuan kepada peperiksaan PT3 yang bakal mereka hadapi supaya beroleh kejayaan yang cemerlang.

- SCORE 'A' WIN ALL -